PERSOALAN sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak, seterusnya mengetepikan sabitan serta hukuman kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd akan ditentukan esok.
Keputusan akan dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Panel itu dijangka mendengar merit permohonan semakan Najib sekiranya memutuskan untuk memberi kebenaran untuk semakan.
Bagaimanapun jika ia ditolak, maka apa yang tinggal ialah petisyen pengampunan yang difailkan September tahun lalu dan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta beliau dibebaskan atau dibicarakan semula.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bekas Perdana Menteri itu bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Mohd Nazlan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.
Sepanjang hujahan untuk mendapatkan kebenaran semakan yang mula didengar pada 19 Januari lalu sebelum bersambung semula selama lima hari bermula 20 Februari lalu, peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghujahkan mengenai konflik kepentingan dan ketidakadilan ke atas anak guamnya ketika tidak diberi penangguhan pada rayuan akhir.
Menurut peguam itu, Tengku Maimun juga mempunyai konflik kepentingan susulan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim membuat hantaran yang mempunyai sentimen negatif terhadap bekas Presiden Umno itu di laman sosial Facebook, lima tahun lalu.
Pembelaan turut berhujah bahawa Mohd Nazlan berdepan konflik kepentingan yang serius kerana beliau pernah berkhidmat sebagai peguam dan setiausaha syarikat bagi Maybank Berhad dan kumpulannya yang terbabit dalam transaksi berhubung SRC.
Seterusnya, Muhammad Shafee berhujah bahawa keengganan Mahkamah Persekutuan membenarkan peguam Datuk Hisyam Teh Poh menangguhkan prosiding rayuan akhir menyebabkan ia dijalankan dalam keadaan Najib diwakili secara paksa, sekali gus tidak mendapat perbicaraan adil.
Katanya, penghakiman panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini dibuat berdasarkan hujah sebelah pihak tanpa mengambil kira 94 alasan rayuan yang dikemukakan.
Hujahan itu dibalas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk V Sithambaram yang menegaskan, tindakan pembelaan menggunakan hantaran Facebook Zamani disifatkan sebagai langkah terdesak.
Jelasnya, mereka mengetahui mengenai hantaran itu lebih awal namun memutuskan isu tersebut tidak berbaloi untuk dijadikan asas untuk menyingkirkan Tengku Maimun.
Katanya, menggunakan alasan tersebut di saat-saat akhir menunjukkan mereka terdesak untuk menangguhkan perbicaraan.
Sithambaram selanjutnya berkata, alasan untuk menangguhkan rayuan akhir adalah tidak munasabah dan tidak kukuh dan menyifatkan tindakan peguam Hisyam Teh Poh Teik menarik diri di saat akhir adalah strategi taktikal untuk melengahkan prosiding.
Menurut Sithambaram, Mahkamah Persekutuan menggunakan budi bicaranya untuk tidak membenarkan penangguhan dan firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) yang dilantik Najib sepatutnya tidak menerima kes apabila tarikh perbicaraan sudah ditetapkan melainkan mereka bersedia dengan rayuan. – Malaysiapost