PAKATAN Harapan (PH) Melaka secara dasarnya menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Pengerusinya, Adly Zahari, berkata PH Melaka akan berusaha untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri bagi mewujudkan kestabilan politik.
“Ia demi memastikan kestabilan politik negeri dapat diwujudkan dan seterusnya kemakmuran ekonomi negeri dapat dipertingkatkan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika perubahan bakal berlaku di Melaka susulan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.
Sulaiman bakal digantikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dijangka mengangkat sumpah jawatan esok.
Sebelum ini Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri itu tidak lama lagi.
Katanya, meskipun Melaka sudah melalui proses PRN lebih awal, negeri itu masih belum lagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dilaksanakan di peringkat Persekutuan. – Malaysiapost