PIHAK pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mengambil pendirian untuk tidak mencampuri kemelut politik yang berlaku di dalam Barisan Nasional (BN) Melaka ketika ini.
Ketuanya Dr Mohd Yadzil Yaakub, berkata beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) yang lain akan kekal komited sebagai pembangkang yang berwibawa.
Menurutnya, PN akan terus memperjuangkan suara rakyat dan menjadi semak dan imbang yang baik kepada kerajaan negeri Melaka.
“Kami menghormati keputusan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau atas jasa yang telah dicurahkan sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Adun Bemban, berkata PN dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil akan terus membantu rakyat biar siapa pun yang dilantik Ketua Menteri Melaka atau kerajaan yang memerintah negeri Melaka.
“Semoga Ketua Menteri yang baru akan terus membawa agenda rakyat yang sekarang sedang tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Serta mampu menyelesaikan segala permasalahan rakyat di samping membawa kemajuan kepada Negeri Melaka,” katanya. – Malaysiapost