Raja Salman sumbang 35 tan kurma

KERAJAAN Arab Saudi meneruskan program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud bersempena kedatangan Ramadan Al-Mubarak dengan memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada umat Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata melalui program itu Raja Salman berbesar hati memberikan sumbangan termasuk 17,000 naskhah al-Quran untuk diedarkan secara percuma.

Beliau berkata, sumbangan lain adalah kurma sebanyak 35 tan untuk diagihkan dan tajaan majlis berbuka puasa (iftar) nasi mandy ayam untuk 15,000 orang.

“Urusan pengagihan dan penganjuran iftar akan diuruskan oleh pelbagai pihak yang diselaras oleh Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, majlis pelancaran program berkenaan hari ini, dihadiri Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi; dan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Pejabat Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi di Luar Negara merangkap Pemangku Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Syaikh Abdul Wahab Abdullah Al-Qahtani.

Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkotanya, Putera Mohammad atas sumbangan yang amat bermakna itu.

“Semoga hubungan akrab antara kedua-dua negara Malaysia dan Arab Saudi akan terus kukuh dan bertambah erat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights