Ben Ibrahim
MASALAH kesihatan menyaksikan dua beranak berstatus orang kurang upaya (OKU) terpaksa menjalani kehidupan secara sederhana.
Norhayati Mustafa, 62, dan anaknya, Ahmad Khairul Ahmad, 35, menyewa rumah di Kampung SC, dekat Kuantan, Pahang dan mengharapkan ihsan orang ramai bagi menampung perbelanjaan harian.
Norhayati mula berdepan masalah kesihatan pada tahun 2014 selepas terjatuh di tempat kerja lamanya di bandar raya ini.
“Akibat insiden itu, saya terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian kepala kerana terdapat pendarahan dalam otak.
“Saya kemudiannya mengalami serangan angin ahmar dan lumpuh sebelah badan.
“Keadaan kesihatan beransur pulih selepas menjalani rawatan fisioterapi, namun sampai sekarang mata dan telinga saya sebelah kiri tidak berfungsi,” katanya ketika ditemui di hari ini.
Norhayati berkata, Ahmad Khairul pula terpaksa menjalani pembedahan dan memotong kaki sebelah kanan akibat kencing manis.
“Kaki dia kena potong sebab keadaan penyakit semakin kritikal, dia memang menghidap kencing manis sejak kecil,” katanya lagi.
Dia memaklumkan ada menerima bantuan zakat dari pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebanyak RM200 sebulan.
Katanya, wang itu digunakan bagi membayar sewa rumah yang mereka diami ketika ini.
“Anak saya pun baru terima kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang awal bulan ini dan kami masih menunggu (keputusan) permohonan bantuan bulanan daripada JKM,” katanya.
Ditanya mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, Norhayati berkata, perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya kerana menyedari dia tidak berkemampuan.
“Dah bertahun kami tak buat apa-apa (persiapan), kalau dapat baju baru pun sebab ada jiran atau orang ramai sedekah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu dan menyalurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi talian 011-25714064 (Norhayati) untuk mendapatkan maklumat lanjut. – Malaysiapost