PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Ke-13 esok susulan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Menurut laporan FMT yang memetik sumber berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mungkin mencadangkan Ab Rauf bagi jawatan berkenaan apabila Presiden Umno, itu bertemu Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Terdahulu, Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara, sebelum ini berulang kali dikaitkan dengan jawatan itu sejak Barisan Nasional menang pilihan raya negeri (PRN) Melaka, pada November 2021.
Sebelum PRN Melaka, Sulaiman merupakan Ketua Menteri, manakala Rauf sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Sulaiman kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas kemenangan besar BN.
Bagaimanapun, khabar angin Sulaiman akan digantikan timbul sejurus keputusan PRN mula diketahui, yang mana Rauf mendakwa ada cubaan melobi pimpinan tinggi parti untuk jawatan ketua menteri. Malah, beliau tidak hadir ketika Sulaiman mengangkat sumpah.
Pada Disember, Sulaiman menafikan spekulasi akan meletak jawatan susulan laporan beliau didakwa dijangka berbuat demikian pada 3 Januari, untuk memberi laluan kepada Ab Rauf.
Sementara itu, Exco negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis mendakwa Melaka bakal mempunyai Ketua Menteri ‘pintu belakang’ susulan peletakan jawatan Sulaiman.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka mendakwa rakyat memahami istilah ‘kerajaan pintu belakang’.
“Apa yang tuan-tuan akan saksikan dalam beberapa hari berikutnya ialah Ketua Menteri ‘tebuk atap’ atau Ketua Menteri ‘pintu belakang’.
“Ini spesies baharu kelahiran Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya. – Malaysiapost