TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau kini takut kerana di tanah air sendiri di Malaysia, yang disebutnya sebagai Tanah Melayu, beliau tidak boleh bercakap berkenaan masalah orang Melayu.
Kata bekas Perdana Menteri itu, orang Melayu tidak boleh berjumpa menerusi program Proklamasi Melayu yang dianjurkannya apabila empat permohonan ditolak “atas arahan pihak atasan”.
“Nak lancar proklamasi orang Melayu tanpa sentuh kaum lain, itu hasutan. Sedition.
“Saya takut. Nak guna sosial media ini bolehkah? Akan dituduh menghasutkah? Saya minta ampun jika dakwaan ini salah.
“Jika salah saya mengeluh tentang nasib orang Melayu, tak apalah. Saya tidak lagi akan mengeluh. Orang Melayu miskin jual negara. Okaylah. Orang miskin tidak perlu negara. Jangan buat apa-apa. Itu hasutan,” tulis Dr Mahathir bernada sindiran.
Baru-baru ini Dr Mahathir berkata, orang Melayu patut menentang kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwanya, ia berikutan kerajaan menghalang pihak lain melancarkan program Proklamasi Melayu yang dilihat mengkhianati janji dalam Perlembagaan Negara.
Dr Mahathir berkata, isi kandungan proklamasi menepati peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Perlembagaan Umno.
Sebelum ini empat kali program yang dirancang oleh Dr Mahathir mengenai proklamasi orang Melayu di Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan.
Beliau membidas kerajaan kerana didakwa menjadi punca program itu terpaksa dibatalkan.
Dr Mahathir turut menyerang Umno yang didakwanya kini menjadi alat pemimpin tertentu sekali gus hilang arah dalam memperjuang nasib orang Melayu. – Malaysiapost