PERTUKARAN Ketua Menteri Melaka yang berlaku ketika ini bukanlah kerana keadaan kerajaan ‘tebuk atap’ atau kerajaan ‘pintu belakang’, kerana tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang melompat parti atau menarik sokongan.
Adun Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali bukan dijatuhkan, tetapi sebaliknya meletakkan jawatan.
“Kerajaan tebuk atap ataupun kerajaan pintu belakang ni apabila ketua menteri dijatuhkan macam masa YB (Yang Berhormat) Jai (Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis) melompat keluar dari Pakatan Harapan (PH) dulu dan akhirnya ketua menteri ketika itu hilang majoriti dan hilang jawatan.
“Kali ini, apabila ketua menteri meletakkan jawatan dengan sendirinya, maka kekosongan yang berlaku itu perlu lah diisi oleh mana-mana wakil rakyat yang dirasakan layak oleh parti yang memerintah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Malaysia dan Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, mengulas mengenai kenyataan Muhammad Jailani yang mendakwa Melaka bakal mempunyai ketua menteri ‘pintu belakang’.
Terdahulu Muhammad Jailani yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, dilaporkan berkata apa yang akan saksikan di Melaka dalam beberapa hari ini ialah ketua menteri ‘tebuk atap’ atau ketua menteri ‘pintu belakang’.
Dr Muhamad Akmal juga menegaskan parti yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan dipilih rakyat tetap menjadi kerajaan negeri pada hari ini.
“Mungkin YB Jai lupa kot masa YB Jai jadi sebahagian dari kerajaan tebuk atap dulu,” sindirnya.
Pada Mac 2020, Muhammad Jailani yang juga Adun PKR ketika itu bersama Adun DAP Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengumumkan menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Melaka.
Keadaan itu sekaligus menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka yang memerintah selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – Malaysiapost