DATUK Seri Sulaiman Md Ali masih enggan membuka mulut berhubung peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Menteri.
Difahamkan, beliau meninggalkan Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh pada jam 11 pagi tadi, hanya tersenyum dan menunjukkan isyarat memohon maaf kepada pengamal media yang menunggu beliau seawal jam 8 pagi.
Kenderaan Mercedes Benz berwarna hitam yang membawa beliau dilihat menuju ke kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara Ayer Keroh.
Terdahulu Sulaiman dilihat memasuki kompleks berkenaan pada jam 8.59 pagi dengan menaiki kereta.
Beliau dikatakan hadir ke pejabatnya untuk berjumpa kakitangan di situ buat kali terakhir sebagai bekas Ketua Menteri Melaka.
Teka Teki siapa Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal ditentukan hari ini apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd di Istana Melaka, pagi tadi.
Pertemuan itu dipercayai bagi mempersembahkan nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu bagi menggantikan Sulaiman.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid mengesahkan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu itu telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, pada Selasa.
Isu pertukaran pemimpin negeri Melaka mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN negeri itu yang diadakan pada 20 November 2021.
Justeru, nama Pengerusi Umno Melaka yang juga ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik Ketua Menteri baharu. – Malaysiapost