DATUK Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan Ketua Menteri Melaka kelmarin, memasuki pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, buat kali terakhir, pagi ini.
Menurut Harian Metro, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu tiba di Kompleks Seri Negeri jam 9 pagi dikatakan hanya bertemu pegawai dan kakitangan pejabatnya sebelum keluar jam 11 pagi.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Sulaiman sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya, Selasa lalu.
Susulan itu, beberapa nama pemimpin Umno negeri disebut-sebut untuk menggantikan Sulaiman, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Adun Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sementara itu, satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka dalam tempoh terdekat berhubung peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka ke-13 itu.
Difahamkan, istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ketua Menteri Ke-14 akan diadakan esok di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di sini, jam 3 petang. – Malaysiapost