DATUK Seri Sulaiman Md Ali menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ucapan ringkas di pejabatnya hari ini sebelum melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka yang disandangnya sejak 9 Mac 2020.
Video Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu yang penuh beremosi ketika majlis ringkas tersebut turut tular di media sosial.
Dalam ucapannya, Sulaiman mengakui tidak sedih untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka, sebaliknya sebak kerana terpaksa meninggalkan kakitangannya.
“Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini, saya tidak sedih meninggalkan kerusi empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya,” katanya.
Tambah Sulaiman, beliau sedih untuk meninggalkan semua kakitangannya yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan dan sentiasa jujur serta amanah ketika bertugas.
“Saya tidak mampu lagi memperoleh staf seperti ini dan sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya,” katanya.
Terdahulu hari ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menghantar nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, berkata nama Ab Rauf diserahkan kepada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam baru-baru ini.
Menurutnya, Umno juga sudah mengutuskan warkah kepada Mohd Ali, untuk menerima peletakan jawatan Sulaiman.
Ahmad Zahid menambah, peletakan jawatan Sulaiman adalah disebabkan masalah kesihatan. – Malaysiapost