DATUK Seri Sulaiman Md Ali petang tadi meraikan seramai 120 penerima sumbangan Ramadan Peringkat Parlimen Masjid Tanah di Japerun Kuala Linggi.
Ia dipercayai antara majlis rasmi terakhir dihadiri beliau sebagai Ketua Menteri Melaka.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu berharap sumbangan yang disampaikan dapat membantu dan meringankan tanggungan penerima.
“Besar harapan saya agar program sebegini dapat diteruskan untuk tahun-tahun mendatang agar lebih ramai penerima yang mendapat manfaat,” tulisnya.
Terdahulu Sulaiman telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri dan dijangka digantikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Majlis angkat sumpah jawatan Ketua Menteri baharu dijangka berlangsung esok. – Malaysiapost