Waspada penipuan ‘Peraduan MILO Ramadan’

ORANG ramai diingatkan supaya waspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan ‘Peraduan Milo Ramadan’ yang kini tular di media sosial.

Peringatan itu dibuat Nestlé Products Sdn Bhd dalam satu kenyataan yang turut menasihatkan orang ramai merujuk laman web rasmi syarikat itu bagi pengesahan berhubung sebarang peraduan.

“Kami telah dimaklumkan tentang Peraduan MILO Ramadan yang menawarkan hadiah wang tunai kepada orang ramai setelah melengkapkan borang soal selidik.

“Sila ambil perhatian bahawa pesanan ini merupakan penipuan yang bertujuan untuk memperdayakan orang ramai,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Nestlé, hari ini.

Menurut Nestlé orang ramai boleh melayari laman web rasmi MILO untuk peraduan di www.milo.com.my.

“Jika ragu-ragu atau memerlukan maklumat atau penerangan lanjut, segera hubungi Pusat Perkhidmatan Pengguna Nestlé di www.nestle.com.my/contactus atau 1-800-883-433,” katanya.

Terdahulu satu pautan kononnya Peraduan Ramadan Milo tular di WhatsApp menawarkan wang tunai sehingga RM2,000.

Susulan itu, tular satu tangkap layar dipercayai memaparkan sejarah transaksi akaun bank mangsa yang dikenakan caj berjumlah RM10 sebanyak tiga kali secara tiba-tiba selepas menekan pautan itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights