Zahid sahkan Ab Rauf Ketua Menteri Melaka yang baharu

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menghantar nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Beliau yang juga Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, berkata nama Ab Rauf diserahkan kepada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam baru-baru ini.

Menurutnya, Umno juga sudah mengutuskan warkah kepada Tun Mohd Ali, untuk menerima peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Saya sudah mengutuskan warkah kepada TYT (Tuan Yang Terutama) Melaka untuk menerima peletakan jawatan Ketua Menteri (Sulaiman) dan dengan ini parti mencadangkan melalui warkah itu Datuk Seri Rauf sebagai Ketua Menteri baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK), di Bangunan Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada Sulaiman ada memaklumkan sebab peletakan jawatan, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan masalah kesihatan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, barisan Exco kerajaan negeri Melaka juga akan mengambil semangat Kerajaan Perpaduan.

“Saya membincangkan perkara ini (barisan Exco). Oleh kerana kita mengambil semangat Kerajaan Perpaduan yang telah berjalan baik di peringkat nasional.

“Saya yakin semangat itu akan dihilirkan ke Melaka supaya optik yang baik dapat diperlihatkan kepada bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights