Ab Rauf ikrar memajukan Melaka

PENGERUSI Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersyukur dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk berkhidmat dengan penuh iltizam kepada seluruh rakyat Melaka.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam atas kepercayaan diberikan untuk saya berkhidmat serta menerajui Negeri Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-13.

“Jutaan terima kasih juga buat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan.

“Saya berikrar akan melaksanakan amanah ini dengan penuh komitmen untuk memajukan negeri yang kita cintai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, atas segala jasa-jasa beliau memimpin Negeri Melaka sejak Mac 2020.

“Ingin saya tegaskan, Kerajaan baharu Negeri Melaka ini adalah sebuah Kerajaan Negeri yang kukuh dan stabil. Ianya adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil muafakat bersama antara parti-parti politik yang mempunyai mandat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.

“Saya juga akan memastikan barisan Exco yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya.

Ab Rauf juga menegaskan, segala perancangan dan pembangunan yang mesra rakyat akan diteruskan demi merancakkan lagi ekonomi negeri.

“Rakyat Melaka dahagakan pembangunan. Mereka mahu melihat kemudahan hospital, kemudahan sekolah, peluang berniaga dan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.

“Pelan 100 Hari kerajaan baharu pimpinan saya akan merangka usaha ke arah menjana lebih banyak pelaburan dan pekerjaan untuk Melaka.

“Melaka juga memerlukan infrastruktur, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital, yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran lain, beliau turut menziarahi pusara kedua ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau.

“Sayu hati saya kerana tidak dapat berkongsikan detik penuh bersejarah ini dengan kedua-dua insan istimewa ini. Semoga Allah SWT merahmati arwah abah dan emak. Al-Fatihah,” katanya.

Beliau juga mengadakan majlis kesyukuran dan berbuka puasa di kediamannya di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, hari ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights