PENGERUSI Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), hari ini.
Terdahulu, pengumuman Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari yang memaklumkan pelantikan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka.
Pelantikan Itu susulan peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka oleh Datuk Seri Sulaiman Md Ali, kelmarin yang disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno. – Malaysiapost