BAS sekolah dan pengangkutan awam dikecualikan daripada menerima subsidi bersasar diesel yang akan diperkenalkan kerajaan tidak lama lagi.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya kenaikan tambang sekali gus akan membebankan rakyat.
“Subsidi bersasar diesel ini tidak akan dikenakan kepada bas sekolah dan pengangkutan awam sebab kita tidak mahu ada kenaikan dari segi tambang bas dan seumpamanya,” katanya pada majlis pelancaran E- Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), hari ini.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan sedang merangka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini.
Ahmad berkata, perisian subsidi bersasar bagi diesel dijangka siap menjelang suku kedua tahun ini.
“Pada suku kedua tahun ini kita akan cuba menyelesaikan perincian untuk subsidi bersasar diesel mungkin bulan enam hingga lapan. Apabila sudah lengkap baru kita boleh lancarkan,” katanya.
Mengenai subsidi bersasar petrol pula, Ahmad berkata, kerajaan sedang mengkaji perincian berhubung pendapatan rakyat yang boleh menikmati kemudahan itu.
“Saya harap kita dapat menyegerakan, tarikhnya belum ada tapi kita bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakannya.
“Kita ada jawatankuasa khas mengenai perkara itu dan beberapa jabatan terlibat bagaimana untuk melaksanakannya,” katanya.
Jelas Ahmad, antara yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan adalah agihan subsidi petrol bersasar untuk T20 yang hidup di bandar dengan kos sara hidup yang tinggi jika dibandingkan kumpulan yang sama namun menetap di kawasan pinggir bandar atau pekan.
“Ada Ahli Parlimen semalam mengatakan tidak semua T20 kita boleh ketepikan kerana golongan itu yang hidup di bandar dan kampung kos sara hidup tidak sama.
“Tekanan T20 di Kuala Lumpur lebih tinggi. Jadi ini antara perincian yang perlu diteliti sebelum kerajaan laksanakan subsidi petrol bersasar,” katanya. – Malaysiapost