Bungkusan dihantar kepada Anwar, Rafizi bukan ganja tapi ubat gigi

BUNGKUSAN yang didakwa berisi ekstrak ganja yang dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini, adalah pes ubat gigi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, kandungan sebenar bungkusan yang dihantar kedua-dua ahli politik itu dikenal pasti selepas hasil ujian makmal diterimanya.

“Selepas hantar bungkusan itu ke makmal kimia, hasilnya mendapati ia tidak mengandungi sebarang jenis dadah.

“Ia sebenarnya adalah pes ubat gigi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kedua-dua bungkusan itu dihantar oleh individu yang sama dan dipercayai warga tempatan.

Katanya, polis sudah mendapat maklumat pengirim bungkusan berkenaan dan usaha mengesan suspek masih dilakukan.

Media sebelum ini melaporkan bungkusan berisi dipercayai ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada dua ahli politik berjaya dirampas menerusi serbuan di sebuah hab kurier di Pulau Meranti, Puchong. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights