Ceramah tanpa tauliah, JAIPs panggil Ustaz Wadi

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Wadi Annuar akan dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung ceramah tanpa tauliah di Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, semalam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendakwah berkenaan bersama penganjur iaitu Lajnah Dakwah dan Perkaderan PAS Kangar dikehendaki hadir bagi memberi keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April depan.

Menurutnya, Jabatan Mufti Perlis yang mengeluarkan tauliah manakala JAIPs pula melaksanakan penguatkuasaannya.

“Menerusi perjumpaan dengan Exco Agama Islam negeri, pihak berkenaan (Ustaz Wadi Annuar) sudah ditawarkan dan dipelawa memohon tauliah untuk dinilaikan dulu. Jadi dia pohonlah dulu tauliah itu.

“Kita hendak tengok juga siapa yang dia hendak ceramah tetapi dia enggan. Malah, semasa dua perjumpaan bersama JAIPs juga sudah ditegaskan supaya minta tauliah tetapi tetap enggan dengan alasan ceramah itu dilakukan di premis peribadi.

“Oleh itu apabila peristiwa ini berlaku, kita tengok ia sudah sampai ke tahap yang mana toleransi kita selama ini dianggap sebagai ruang mempersendakan peraturan apatah lagi selepas dikeluarkan titah oleh Raja Perlis dan pemerintah di negeri lain mengenai tauliah,” katanya hari ini.

Beliau menjelaskan, kedatangan penguatkuasa JAIPs bukan untuk menangkap Ustaz Wadi sebaliknya, hanya mahu mengambil keterangan saja.

“Namun, tindakan itu dihalang hadirin dengan cara yang tidak terhormat meskipun terdapat anggota polis yang hadir mengawal.

“Apa yang mendukacitakan juga adalah ada yang mengeluarkan perkataan kafir kepada pihak berkuasa agama dan ini adalah satu hal yang tidak wajar terutama kita ketika dalam Ramadan kerana kita mempunyai peraturan di semua tempat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pendakwah berkenaan yang mengambil alasan ceramah dilakukan di premis persendirian menyebabkan dia tidak perlu memohon pentauliahan daripada Jabatan Mufti Perlis.

“Apa maksudnya premis peribadi atau persendirian ini kerana semua premis mempunyai nama pemilik pada tanah. Sembang santai yang dimaksudkan ialah memberi ceramah santai kepada keluarga seperti isteri dan anak dalam skala kecil.

“Namun apabila diadakan dengan poster yang memanggil muslimin dan muslimat datang, tidak mungkin itu semua keluarga terdekatnya,” katanya.

Beliau berkata, isu penceramah tanpa tauliah bukanlah masalah setempat di Perlis saja tetapi ia diperkatakan di seluruh negara.

Terdahulu, satu laporan turut dibuat di balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguatkuasanya dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan ustaz Wadi sewaktu ingin mengambil keterangan berhubung tindakan pendakwah itu memberi ceramah di negeri itu.

Sebelum ini, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut menitahkan agar pihak berkuasa agama dapat memantau dan memastikan agar setiap penceramah mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti negeri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights