Gangguan seksual: Jurulatih berbasikal wanita negara digantung tugas

SEORANG atlet berbasikal wanita negara membuat laporan polis terhadap jurulatihnya atas dakwaan gangguan seksual.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, PKBM mengambil serius isu berkenaan dan Jawatankuasa Disiplin telah memulakan siasatan selepas dimaklumkan mengenai laporan polis itu.

“Pada masa sama, jurulatih tersebut telah digantung tugas serta merta sementara menunggu siasatan bagi memastikan tiada campur tangan sepanjang siasatan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Menurutnya, PKBM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan agensi kerajaan lain dalam siasatan bebas mereka.

“PKBM tidak akan berkompromi dengan keselamatan serta kebajikan pelumbanya dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual atau perbuatan lain yang termaktub dalam Kod Sukan Selamat,” katanya.

Awal bulan ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, KBS akan memperkenalkan Kod Sukan Selamat bagi menangani gangguan seksual, buli dan keganasan.

Kod itu yang termasuk garis panduan mengenai persekitaran sukan selamat, akan digunakan untuk menangani aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan Akta Sukan Selamat. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights