Jangan ikut nafsu, beli ikut keperluan di bazar Ramadan

SUASANA Bazar Ramadan tahun ini tetap meriah meskipun berlangsung dalam suasana harga bahan mentah makanan meningkat dan tidak menentu.

Tinjauan Malaysiapost di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur mendapati peniaga terpaksa menjual jualan mereka dengan harga tinggi berbanding tahun lalu.

Namun, orang ramai umpama melepaskan geram dan sanggup bersesak-sesak di Bazar Ramadan berkenaan untuk membeli juadah berbuka puasa yang diidamkan selepas tiga tahun kemeriahannya hilang angkara pandemik Covid-19.

Bagi pekerja swasta yang dikenali sebagai Anis berkata, dia mengakui ‘ngeri’ untuk membeli juadah di Bazar Ramadan namun pasrah dengan senario yang berlaku ketika ini.

Jelasnya, pada tahun ini nilai RM20 seperti tidak cukup untuk membeli juadah bagi dia sekeluarga berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Pasrah lah dengan harga yang agak mahal ini, kita pun tahu peniaga pun jual nak untung, takkan jual nak dapat rugi pula.

“Jadi kita kena lah membeli ikut keperluan dan bukan ikut nafsu. Saya yang bekerja ni memang tak sempat nak masak memang kena beli tapi perlu bijak memilih juadah untuk sekeluarga,” katanya yang akan membelanjakan sekitar RM30 hingga RM40 sehari membeli juadah di Bazar Ramadan.

Sementara itu bagi Razlan, 44, berkata, dia terpaksa mendisiplinkan diri ketika membeli juadah di Bazar Ramadan.

“Jangan ikutkan nafsu. Harga memang mahal sekarang, kita pun tak boleh buat apa, tapi kita masih mempunyai akal untuk berjimat dan mengawal nafsu kita.

“Kalau ikutkan memang semuanya nampak sedap, tapi kita kena membeli ikut keperluan, jangan membazir makanan. Yang penting kita beli ikut kemampuan ekonomi kita,” katanya yang membeli seekor ayam golek berharga RM25 untuk berbuka bersama keluarga.

Bagi penjaja ayam bakar, Rashidi Razali, 31, mengakui harga jualan terpaksa dinaikkan sedikit untuk mengimbangi kenaikan harga bahan mentah yang melambung tinggi ketika ini.

“Saya naikkan sedikit sahaja harga. Dulu harga RM7, tahun ini saya jual RM9 nasi ayam bakar.

“Kalau seekor ayam bakar, harganya sekitar RM25 hingga RM28 ikut saiz. Saya pun faham dan tidak naikkan harga dengan sewenang-wenangnya, janji masing-masing puas hati, situasi menang-menang antara peniaga dan pelanggan,” katanya yang telah enam tahun berniaga di bazar itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights