Kanak-kanak maut jatuh tingkat 16

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun maut selepas terjatuh dari sebuah rumah di tingkat 16 sebuah pangsapuri di Jinjang Utara, Kuala Lumpur petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu dari orang awam pada 4.15 petang.

Menurutnya, siasatan ditempat kejadian mendapati mangsa tinggal berdua dengan kakaknya di rumah berkenaan.

“Semasa kejadian berlaku, kakak mangsa meninggalkan mangsa yang sedang bermain permainan komputer dalam bilik utama rumah berkenaan untuk ke tandas.

“Namun apabila keluar dari tandas, kakak mangsa terlihat mangsa sedang memanjat tingkap yang terdapat di dalam bilik tersebut. Kakak mangsa berlari untuk menarik mangsa, tetapi tidak sempat kerana mangsa telahpun jatuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati rumah berkenaan tidak dilengkapi dengan jeriji besi dan mangsa disyaki tergelincir keluar dari tingkap semasa sedang memanjatnya.

“Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden ini.

“Pegawai paramedik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengesahkan kematian mangsa dan mayatnya dirujuk ke Unit Forensik HKL untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights