“SAYA terdengar suara”. Itu yang dikatakan Ahmad Paijan Abd Rashid, 38, sebaik ditanya jurubahasa sama ada dia mengaku bersalah atau tidak selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Majistret 1 Kuantan, hari ini.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan kerana melakukan kacau ganggu solat di rumah ibadat iaitu menyerang imam yang sedang menunaikan solat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, Ahad lalu.
Tidak hanya tidak dapat menjawab soalan pengakuan, Ahmad Paijan yang merupakan bekas tentera itu juga turut tidak dapat mengingati nombor kad pengenalan dirinya sendiri, lapor Kosmo Online.
Mengikut kertas pertuduhan, pada 26 Mac lalu kira-kira jam 6.30 pagi di ruang solat utama Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan gangguan kepada sembahyang subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang.
Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.
Ezuain Farhana juga meminta agar tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan sehingga terdapat laporan psikiatri dari hospital tersebut.
Majistret Tengku Elyana Tuan Kamaruzaman memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi mendapatkan pemantauan dan laporan.
Majistret turut memutuskan tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh selain menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek bukan sahaja mempunyai masalah mental, tetapi juga seorang penagih dadah. – Malaysiapost