DATUK Seri Najib Razak gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan menyemak
keputusan mahkamah sama sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman dijatuhkan terhadapnya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Dengan keputusan itu, bekas perdana menteri itu kini perlu menjalani baki tempoh penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya melainkan dia mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Najib memohon kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya yang dibuat oleh panel diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada pada 23 Ogos tahun lalu dan jika permohonan itu dibenarkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah daripada mahkamah supaya beliau dibebaskan
Secara alternatif, Najib juga memohon supaya rayuan akhirnya tahun lalu didengar semula oleh panel hakim mahkamah persekutuan yang lain.
Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan menolak permohonan Najib melalui penghakiman majoriti 4-1 di mana keputusan (menolak kebenaran) dibuat oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang.
Vernon yang membacakan keputusan, berkata panel membuat keputusan berkenaan selepas mendapati permohonan kebenaran semakan tersebut tidak lebih kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan rayuan akhirnya.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati bekas perdana menteri itu
bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Mohd Nazlan sehubungan itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu. – Malaysiapost