PERTUKARAN Ketua Menteri tidak akan menjejaskan imej dan persiapan Umno menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri adalah berpunca daripada masalah kesihatannya, bukan disebabkan krisis politik.
“Saya kira ia tidak jejaskan apa-apa (persiapan PRN) sebab masalah kesihatan ini di luar jangka dan tentunya ia perlu diambil alih.
“Exco kanan ialah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh maka selayaknya beliau yang mengambil jawatan itu.
“Beliau juga Pengerusi Perhubungan Umno Melaka dan Ketua Bahagian Masjid Tanah dan telah lama memimpin Melaka,” katanya pada majlis Pelancaran E- Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan, tiada isu desakan daripada pihak tertentu terhadap Sulaiman untuk melepaskan jawatannya.
“Kita baca sebabnya adalah masalah kesihatan, kita berharap beliau sembuh dan berubat, dalam masa yang sama kerajaan negeri patut diteruskan dan saya kira Exco kanan patut meneruskannya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berharap Rauf sebagai ketua pentadbiran baru di Melaka dapat melaksanakan tanggungjawabnya bagi memastikan Kerajaan Perpaduan berjalan dengan dengan baik dan stabil di samping mengutamakan rakyat.
“Jadi pastikan Malaysia Madani boleh dilaksanakan di Melaka, pastikan Kerajaan Perpaduan dilaksanakan di Melaka, pastikan rakyat diutamakan dalam segala perkara yang dibuat di Melaka,” katanya.
Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan nama Rauf dicadangkan Umno kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam sebagai pengganti Sulaiman.
Surat peletakan jawatan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu diterima Ahmad Zahid pada Selasa lalu.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 dijadualkan diadakan di pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka pukul 3 petang ini. – Malaysiapost