Rumput percuma Stadium Bukit Jalil ‘laku keras’

ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk mengambil rumput padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang diberikan secara percuma oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), hari ini.

Rata-rata mereka mahu menanam rumput berkenaan di halaman rumah sendiri sebagai kenangan terindah buat penyokong bola sepak negara.

Antara yang teruja adalah Erik Tan, yang mengakui kejayaan anak buah Kim Pan-gon layak ke Piala Asia di Qatar pada Januari depan antara kenangan manis buat rakyat di negara ini.

“Ambil nak letak kat rumah, boleh bagi tahu anak-anak yang rumput ini dulu pemain (skuad Harimau Malaya) kita, pernah main atas rumput ini sebagai kenangan dan juga untuk cantikkan halaman rumah.

“Kita dapat tahu stadium nak bagi rumput percuma, jadi saya pun datang ambil untuk letak dekat rumah dan ia juga kenangan sebab stadium ini nak tukar rumput baru. Jadi ambil sikit sebagai cenderamata untuk kita simpan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Wan Donnie Khalid Wan Abdullah pula berkata, dia mengambil rumput itu bagi kegunaan pelatih-pelatih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), di Sungai Besi.

Jelas Pegawai Pemulihan itu, di Puspen sememangnya ada padang bola sepak namun terdapat beberapa permukaan rumput yang sudah mati dan lompong.

“Saya ucapkan terima kasih kepada PSM kerana memberi rumput percuma. Saya datang bukan untuk kegunaan peribadi tapi sebenarnya untuk pusat penagihan narkotik Sungai Besi, di mana kita ada padang bola dan sedikit sebanyak kita ambik untuk ganti balik rumput-rumput kita yang rosak.

“Alhamdulillah padang rumput di SNBJ ini masih lagi dalam keadaan yang baik,” kata Wan Donnie.

Katanya, dengan pemberian rumput itu ia akan memberi manfaat buat pelatih-pelatih Puspen menjalani proses pemulihan menerusi aktiviti sukan.

“Padang itu kegunaan untuk pelatih sebenarnya, kita memang ada aktiviti riadah dan sukan di sebelah petang hampir setiap hari.

“Sangat penting sebab itu salah satu terapi kepulihan dia (pelatih) untuk aktiviti sihat dia. Sebelum dia ambik dadah di luar, mereka memang jarang bersukan, tapi bila masuk pusat kita sukarela, salah satu komponen dalam terapi pemulihan kita wajib bersukan dan riadah,” katanya.

Semalam, PSM menawarkan rumput padang SNBJ jenis ‘Cow Grass’ secara percuma kepada orang ramai di mana venue berkenaan akan menjalani proses penggantian rumput baharu jenis Zeon Zoysia bermula esok.

Proses pertukaran itu dijangka mengambil masa sehingga Oktober ini dengan skuad Harimau Malaya dijangka dapat menggunakan SNBJ pada saingan Pestabola Merdeka pada hujung Oktober ini. – Malaysiapost

Kredit foto: Harian Metro

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights