Shuk, Sera sah cerai talak satu

SELEPAS lapan tahun melayari bahtera rumah tangga, pelawak Shuk Sahar, mengesahkan ikatan perkahwinan dengan Rossa Sera, terlerai baru-baru ini.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 36, mengesahkan telah menceraikan Sera dengan talak satu pada 22 Mac lalu.

Lafaz cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur diputuskan selepas mereka mencapai kata sepakat dan persetujuan bersama-sama.

“Kami capai keputusan untuk berpisah selepas pulang daripada mengerjakan umrah sekitar Januari lalu.

“Perpisahan ini dilakukan secara baik antara kami,” katanya.

Dalam pada itu, Shuk mengakui perceraian tersebut memberi pengajaran buat dirinya untuk berubah menjadi individu lebih baik.

Katanya, walaupun sudah berpisah, hubungannya dengan bekas isteri tetap baik demi masa depan dua cahaya mata mereka.

“Semua yang berlaku kepada kami, memang menjadi pengajaran buat saya untuk terus memperbaiki diri.

“Selama ini memang kami cuba cari haluan masing-masing untuk perbetulkan diri sendiri.

“Fokus saya sekarang ini hanya untuk anak-anak sahaja dan mereka kini tinggal di Sabah bersama ibu Sera,” katanya.

Sebelum ini, krisis rumah tangga Shuk dan Sera mula goyah apabila pelawak itu didakwa curang dengan wanita lain yang dikenali sebagai Fara Salleh.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurnikan dua anak perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 7, dan Nur Assyifatul Aimi kini berusia empat tahun. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights