UMNO berharap Lembaga Pengampunan akan mengambil kira penghujahan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dalam semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan yang dikeluarkan Abdul Rahman itu merupakan satu hujah yang kuat.
“Diharapkan Lembaga Pengampunan kelak akan mengambil kira penghujahan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang juga merupakan hakim paling senior di kalangan lima hakim dalam semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
“Beliau juga yang mempengerusikan panel lima hakim tersebut. Antara hujah beliau yang begitu kuat dan membekas:
‘Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil.
‘Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali’,” kata Asyraf Wajdi dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi turut memuji Abdul Rahman kerana berani mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Syabas Datuk Abdul Rahman kerana berani berkata benar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan dan kesihatan kepada bekas Perdana Menteri itu untuk menghadapi ujian yang getir ini.
“Moga Allah memberikan kekuatan dan kesihatan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadapi ujian besar ini.
“InsyaAllah kebenaran dan keadilan pasti akan tertegak jua,” katanya lagi.
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 hari ini menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan. – Malaysiapost