Zahid mahu Sekolah Izzuddin Shah setanding sekolah lain

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, di Ipoh.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mahu sekolah berkenaan setanding dengan sekolah-sekolah di sekitarnya.

Peruntukan itu diumumkannya dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran kementeriannya di sekolah berkenaan hari ini.

Beliau yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah turut mengimbau pengalamannya ketika menimba ilmu di sekolah berkenaan.

“Ketahuilah saya produk sekolah ini, jika ada apa-apa kekurangan dengan keterbatasan saya akan cuba memberikan yang mampu bagi memastikan sekolah ini juga sehebat sekolah lain,” katanya.

Dalam perkongsian di laman Facebook KEMAS Jabatan Kebajikan Masyarakat, memaklumkan kehadiran Timbalan Perdana Menteri kira-kira jam 6 petang disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Shaarani Mohamad serta kepimpinan tempatan.

Hampir 1,800 orang yang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat telah diraikan dalam berkenaan.

Dalam majlis itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus ‘Quick Win’ KEMAS berjumlah RM170,000 kepada peserta dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan.

Pada majlis itu juga, turut disampaikan Bantuan Imarah Masjid daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada dua buah masjid setempat bernilai RM6,000.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga telah memberi sumbangan bakul makanan bernilai RM120 kepada lima orang saudara baru Islam daripada masyarakat Orang Asli Perak. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights