19 MoU bernilai RM170 bilion berjaya dimeterai – Anwar

SEBANYAK 19 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dengan syarikat-syarikat Republik Rakyat China pagi tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata MoU itu dimeterai seusai sesi perbincangan meja bulat dengan tokoh-tokoh perniagaan dari republik berkenaan.

“Jumlah komitmen pelaburan yang mencecah RM170 bilion itu adalah yang tertinggi dari China ke Malaysia dengan sektor yang tertumpu adalah teknologi hijau dan ekonomi digital.

“Dengan termeterainya perjanjian persefahaman ini, maka saya yakin ia mampu melonjak ekonomi negara, dan pastinya akan wujud ‘spillover effect’ kepada perusahaan industri kecil dan sederhana tempatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan memulakan hari terakhir lawatan rasminya ke China dengan menghadiri sesi mesyuarat meja bulat bersama pelabur China berprofil tinggi, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira sejam itu dihadiri kira-kira 50 pelabur dan pemimpin industri dari pelbagai sektor termasuk teknologi peringkat tinggi, ekonomi digital dan pertanian. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights