Agong berkenan sampaikan Rumah Asnaf MAIWP

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini.

Dalam hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, memaklumkan pada majlis berkenaan, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan penerima dan meninjau unit kondominium berkenaan.

“Pengurniaan 140 unit kondominium Ganggarak Permai 14 tingkat di bawah skim bantuan perumahan MAIWP kepada penerima layak itu, melibatkan peruntukan RM30.6 juta.

“Inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” menurut Istana Negara.

Menurut hantaran itu, Rumah Asnaf di Ganggarak Permai turut dilengkapi dengan masjid, taman permainan kanak-kanak dan dewan serba guna.

“Inisiatif Rumah Asnaf tersebut akan dapat mewujudkan ekosistem bernilai yang mampu menguruskan wang zakat untuk skim bantuan perumahan MAIWP dengan berkesan.

“Ianya juga akan membolehkan penerima kondominium tinggal di sana tanpa perlu membayar sewa bulanan serta MAIWP merupakan pemilik asal kesemua unit itu dan ia boleh digunakan untuk kumpulan asnaf yang lain pada masa depan,” katanya.

Terdahulu keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi MAIWP Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights