Anwar ajak komuniti perniagaan luar negara bantu pulih ekonomi Malaysia

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak badan-badan perniagaan di luar negara untuk bersama membantu membina semula ekonomi Malaysia dengan membawa lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Pelawaan itu disampaikan dalam ucapan ringkasnya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat Islam serta kumpulan dan badan perniagaan di Beijing, China, malam tadi.

“Dalam ucapan ringkas, saya berkongsi hasil pertemuan delegasi Malaysia semalam bersama Presiden Xi Jinping di mana Malaysia dan China saat ini mempunyai visi dan matlamat yang sama.

“Ia dalam mencipta tamadun yang mampan, harmoni dan mementingkan aspek nilai dan kemanusiaan.

“Saya turut mengajak badan-badan perniagaan untuk bersama dalam anjakan ini dan berusaha membawa lebih banyak pelaburan yang tinggi dan berkualiti terutamanya ke dalam Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke China bermula Khamis lalu dan mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, semalam.

Perdana Menteri juga dijadual akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Li Qiang, hari ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights