PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu komposisi barisan Exco kerajaan negeri Melaka yang baharu menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, berkata adalah lebih baik menzahirkan kebersamaan parti Kerajaan Perpaduan walaupun BN menguasai tiga per empat komposisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini.
“Walaupun kita tahu di Melaka, Umno dan BN memperolehi tiga per empat suara majoriti, namun alangkah baiknya jika Kerajaan Negeri dapat menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipilih rakyat daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tadarus al-Quran Perdana Sempena Ramadhan 1444H Peringkat Parlimen Kawasan Bagan Datuk di Kompleks Umno Bagan Datuk, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengenai pelantikan barisan Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Menurutnya, kestabilan Kerajaan Perpaduan di negeri Melaka bakal menyumbangkan kemenangan parti-parti komponen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti.
“Kerjasama terjalin antara BN dan Kerajaan Perpaduan melalui pengagihan kerusi memang telah dimulakan.
“Tentunya kestabilan politik di Melaka akan turut menyumbang kebolehmenangan di enam negeri pada PRN nanti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan bahawa bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bakal dilantik dalam mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Semalam, Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi menggantikan Sulaiman yang meletak jawatan Khamis lalu. – Malaysiapost