KKM akan bentang RUU baru kawal produk merokok termasuk cecair nikotin vape – Dr Zaliha

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sangat prihatin dengan kebimbangan, reaksi dan maklum balas yang diterima di media massa susulan daripada pengecualian sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan (vape) daripada Akta Racun 1952.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pengecualian itu adalah selaras dengan keputusan pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair nikotin.

Beliau berkata, lanjutan pengecualian itu, sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau vape kini adalah berduti eksais dan dikawal di bawah Akta Eksais 1976.

“Akta ini memperuntukkan kawalan antaranya dengan melesenkan aktiviti pengilangan dan penggundangan yang melibatkan sediaan ini. Mana-mana orang yang mengilang barangan berduti eksais tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair rokok elektronik atau vape, KKM akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KKM menyasarkan untuk membentangkan RUU baharu itu dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Ke-15 yang dijangka pada Mei ini.

Menurutnya, KKM juga telah menjalankan sesi libat urus berkenaan dasar yang telah ditetapkan di bawah RUU baharu ini termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok kepada semua pihak berkepentingan seperti Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan (NGO), badan profesional dan pihak lain yang berkaitan.

“KKM akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generasi Penamat Rokok Anti Rokok (GEGAR) dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Kempen itu diadakan melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights