BEKAS ratu cantik negara yang juga pelakon iaitu Shakila Saiful mendedahkan pernah menggugurkan janin kembarnya yang ketika itu baru berusia sebulan hasil persetubuhan luar nikah.
Shakila, 27, memaklumkan disahkan hamil anak luar nikah pada Januari tahun lalu dan selepas mengetahui perkara tersebut, teman lelakinya seringkali memujuk supaya menggugurkan kandungan.
“Kehamilan saya turut berada di dalam pengetahuan bapanya yang saya panggil walid kerana suami saya sendiri memaklumkan perkara tersebut kepada bapanya yang juga seorang tokoh agama bagi mendapatkan pandangan,” katanya kepada media dalam satu sidang akhbar.
Katanya, dia nekad untuk menggugurkan kandungan itu selepas dipujuk oleh keluarga suami yang berlatarbelakangkan agama, dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya.
“Walaupun saya bertegas untuk tidak menggugurkan kandungan saya, suami (teman lelaki) saya telah memujuk dan meyakinkan saya perbuatan itu tidak haram dan beliau turut berjanji akan mengahwini saya selepas saya menggugurkan kandungan,” katanya lagi.
Difahamkan, Shakila dan teman lelakinya kemudian mendirikan rumah tangga pada 22 Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, selepas enam bulan bergelar isteri, dia mengalami keguguran kali kedua dipercayai kesan daripada pembuangan kandungan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya tidak sangka saya akan diceraikan selepas lapan hari mengalami keguguran. Lebih menyedihkan selepas penceraian difailkan, suami dan keluarganya sudah tidak memperdulikan saya dan membiarkan saya menghadapi masalah ini seorang diri.
“WhatsApp dan panggilan telefon yang saya buat langsung tidak dibalas dan dijawab. Saya bukan sahaja kehilangan anak kembar saya tetapi saya juga telah keguguran bayi yang saya kandungkan selepas perkahwinan kami,” ujarnya.
Berikutan peristiwa itu, Shakila mengalami kemurungan sehingga pernah membuat cubaan membunuh diri.
Namun begitu, selepas mengadu nasib kepada keluarga mentua, dia mendakwa telah menerima ugutan bunuh oleh individu tidak dikenali. – Malaysiapost