NOORYANA Najwa meluahkan rasa sedih terpaksa pulang tanpa ditemani bapanya, Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Menerusi catatan di Facebooknya, Exco Puteri Umno itu berkata, sebelum dibawa pulang ke penjara, Najib memberitahu anak-anak bahawa berhasrat ingin berbuka puasa bersama keluarga selepas keputusan mahkamah diputuskan.
“Tadi sebelum Daddy dibawa pulang ke penjara, Daddy kata kepada Yana dan adik-beradik,“Daddy baru fikir apa kita nak buka puasa malam ni? Ingat boleh sembahyang bersama family”.
“Sedih, memang sedih. Kerana ketika diperlukan, DSN (Datuk Seri Najib) sentiasa berada di sisi kita. Ketika diminta peluang, DSN jarang say no (kata tidak),” katanya dalam hantaran itu.
Nooryana berkata, Najib yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pekan tidak meminta apa-apa selain perbicaraan kes yang adil.
Katanya, Najib telah dinafikan hak dalam perbicaraan bermula dengan pertukaran Hakim di Mahkamah Tinggi, sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan.
“Bukti baharu yang boleh membersihkan namanya tidak dibenarkan. Konflik berkepentingan Hakim tidak diterima. Dan yang paling asas iaitu masa dan peluang untuk DSN membela dirinya menghadapi isu demi isu.
“Adakah boleh tukar peguam untuk khidmat nasihat berbeza? Boleh dan biasa berlaku. Tetapi DSN tidak boleh.
“Adakah boleh beri masa kepada peguam baru untuk meneliti dokumen kes? Boleh dan biasa diberikan. Kepada peguambela, kepada pendakwaraya juga. Tetapi DSN tidak boleh.
“Adakah peguam boleh tarik diri daripada pembelaan jika tidak yakin dan tidak mahu teruskan? Boleh dan biasa berlaku. Tetapi DSN tidak boleh,” tegasnya lagi.
Pada masa sama, Nooryana mengulang kembali penghakiman Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli juga memutuskan agar penghakiman dahulu diketepikan dan Najib dibebaskan daripada tuduhan terhadapnya.
“Siapakah Hakim ini? Yang Arif adalah Pengerusi panel hakim dan juga Hakim paling kanan paling berpengalaman dalam panel semakan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mengetahui ramai yang kecewa dan keputusan penghakiman semalam mengejutkan perundangan negara.
“Yana tahu DSN seorang pejuang dan DSN tetap mahukan perbicaraan dan pengakhiran yang adil kepadanya.
“Yana berharap kita semua akan terus mengambil langkah bertindak dengan berani mempertahankan dan memperjuangkan keadilan penuh untuknya,” katanya.
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 semalam menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Abdul Rahman yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.
Katanya, kesilapan dilakukan peguam menjadi punca bekas Perdana Menteri itu terpaksa meringkuk dalam penjara.
Abdul Rahman adalah hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti panel hakim yang menolak permohonan Najib bagi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan.
Keputusan itu dibuat empat panel hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang; Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais. – Malaysiapost