Pembeli RUMAWIP Residensi Hektar Gombak buntu gagal dapat kunci rumah

PEMBELI Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Hektar, Gombak buntu selepas kunci rumah yang dijanjikan akan diperolehi 19 Mac lalu, masih belum ‘nampak bayang’.

Wakil pembeli, Azaman Ali berkata, menurut Perjanjian Jual Beli tersebut, kunci rumah sepatutnya diberikan dalam masa 48 bulan dari tarikh menandatangani perjanjian, iaitu pada 3 Mei 2022.

Bagaimanapun, katanya disebabkan oleh pandemik Covid-19, pemaju telah diberikan dua kali tempoh masa tambahan dan disebabkan itu, tarikh pemberian kunci rumah berubah kepada 19 Mac 2023.

“Namun, setakat hari ini, 1 April 2023, projek ini masih belum siap dan telah pun diklasifikasikan sebagai projek berstatus sakit oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kelewatan penyiapan projek ini memberikan kesan yang sangat besar kepada kami, pembeli-pembeli yang tergolong dalam kategori B40.

“Kami kini menghadapi masalah membayar pinjaman bank/kerajaan/syarikat untuk rumah ini yang kini telah mencapai jumlah pembayaran penuh, iaitu lebih kurang RM1500 setiap bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azaman berkata, walaupun pemaju telah mengumumkan akan membayar pampasan disebabkan oleh kelewatan itu, namun ia tidak boleh dituntut pada masa ini kerana pampasan hanya boleh dituntut apabila pembeli telah menerima kunci rumah.

“Sebagai seorang pembeli rumah, saya dan pembeli-pembeli lain kini menghadapi masalah yang sangat sukar.

“Kami terpaksa membayar jumlah pinjaman bank/kerajaan/syarikat dan pada masa yang sama juga terpaksa membayar kos sewa rumah yang diduduki sekarang yang kedua-duanya telah berjumlah melebihi RM2,500 setiap bulan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, situasi tersebut amat membebankan tambahan pula rata-rata pembeli bergaji kadar B40.

Katanya, projek rumah mampu milik di bawah RUMAWIP sepatutnya memberikan bantuan kepada pembeli-pembeli B40 untuk memiliki rumah.

“Namun ia sebenarnya memberikan bebanan yang sangat besar kepada kami kerana kelewatan penyiapan ini dan membawa kepada kebankrapan kami,” katanya – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights