KERAJAAN tidak pernah menghalang ahli politik untuk mengadakan program di institut pengajian tinggi awam (IPTA), kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, bagaimanapun setiap program melibatkan ahli politik perlu berbincang dengan pihak pengurusan universiti terlebih dahulu sebelum dibenarkan.
“Mungkin ada ‘break down’ dalam komunikasi, jadi dalam hal ini kita memang berharap agar kedua-dua pihak dapat berjumpa dan mengaturkan semula program agar dibuat sekali lagi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno Johor di Johor Bahru, hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian setelah diminta mengulas kejadian membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilarang memasuki kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menghadiri satu sesi dialog, kelmarin.
Sementara itu, UiTM dipetik berkata penganjur program, Mahasiswa Demokratik Malaysia telah menganjurkan dialog #JelajahMansuhAUKU tanpa memohon kepada kampus Shah Alam.
UiTM menegaskan, sebarang aktiviti yang membabitkan pihak luar mesti mendapat kelulusan universiti terlebih dahulu. – Malaysiapost