PROSES Pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru yang masih tertangguh selepas digantung sejak 18 Mac lalu akan diambil alih oleh Perhubungan Umno Negeri Johor.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Datuk Abdul Halim Suleiman akan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pemilihan bahagian itu.
“…Setiausaha (Abdul Halim) akan lihat dan bincang kesesuaian masa dan memastikan perjalanan mesyuarat semula itu dapat dilakukan dengan baik.
“Kita seboleh-bolehnya mahu dilakukan segera tetapi kita ambil kira sekarang ni bulan Ramadan dan bahagian ini tak macam bahagian lain yang hanya libatkan ketua tapi nampaknya libatkan semua sekali (ahli jawatankuasa), jadi perlu bincang.
“Kita tidak mahu nanti yang datang segelintir, jadi kalau kita buat, kita hendak semua boleh datang, (tak mahulah) kalau pemilihan itu (sudah berlaku) berlaku ‘rumah dah siap, pahat masih berbunyi’,” katanya dipetik Umno Online.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan Umno Johor Penggal 2023/2026 di Johor Bahru, hari ini.
Sebelum ini, proses pemilihan Umno dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU).
Pada 18 Mac lalu, proses pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung selepas berlaku dakwaan bahawa kertas undi melebihi daripada jumlah perwakilan yang hadir.
Pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru adalah antara Umno Bahagian yang menjadi perhatian apabila penyandangnya Tan Sri Shahrir Abd Samad mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan kali ini. – Malaysiapost