Ustaz Wadi Annuar nafi pernah dipelawa mohon tauliah di Perlis

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menafikan pernah dipelawa untuk permohonan tauliah di Perlis seperti dilaporkan media.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau juga menegaskan belum pernah mengadakan mengadakan perjumpaan bersama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) sebelum ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau turut menjawab tuduhan dan kenyataan mengelirukan JAIPs serta Jabatan Mufti Perlis berhubung majlis yang dihadirinya di Kompleks Pendidikan Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi (MATIN), di Kangar, kelmarin.

Menurutnya, program yang dihadiri itu bukan majlis pengajian agama dan hanya sembang santai bersama masyarakat setempat membabitkan beberapa soalan berkaitan perkembangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelolaannya.

“Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program ini bukanlah majlis pengajian dan ada beberapa soalan berkaitan perkembangan NGO kelolaan saya, keadaan terkini ibadat umat Islam di Makkah dan Madinah serta beberapa kupasan isu semasa.

“Maka saya menerima jemputan yang diadakan di premis persendirian serta tidak memerlukan tauliah agama negeri,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Wadi turut mengesahkan menerima surat daripada JAIPs pada 29 Mac lalu yang mengarahkannya hadir bagi proses siasatan pada 7 April ini.

“Disebabkan kekangan masa dan jadual program yang padat, maka saya memohon untuk mengubah tarikh hadir siasatan pada 17 April dan diterima oleh pihak berkenaan.

“Saya juga menjunjung perintah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan tidak pernah mempersendakan peraturan yang dititahkan oleh DYMM Raja Perlis.

“Semoga dengan kenyataan maklum balas ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul pada malam tersebut dan memperbetulkan semula persepsi negatif yang dilemparkan terhadap saya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam berkata, program berkenaan dianjurkan tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Menurutnya, Ustaz Wadi Annuar dan penganjur dikehendaki hadir untuk diambil keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April ini dan satu proses tindakan undang-undang akan dijalankan secara sivil dan syariah selepas itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights