PEMUDA Umno Malaysia akur dengan keputusan mahkamah semalam yang menolak permohonan bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak sabitan dan hukuman kes SRC International Sdn Bhd dihadapinya.
Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, akur bermaksud menghormati keputusan itu dan tidak turun ke jalanan membuta tuli kerana itulah yang selalu ditekankan oleh Najib ketika beliau berjumpa dengan pemuda seluruh malaysia.
Menurutnya, akur bukan bermaksud bersetuju dengan apa yang diputuskan,sebaliknya Pemuda Umno mendesak kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk memberikan keadilan lebih telus kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Ia dengan mengambil kira hujah yang diberikan oleh Yang Amat Arif Datuk Abdul Rahman Sebli iaitu:
‘Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali.”
“Akur itu hormat tetapi bukan bermakna bersetuju dengan apa yang diputuskan. Moga Allah melindungi Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Najib untuk menyemak keputusan mahkamah sama sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman dijatuhkan terhadapnya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC.
Dengan keputusan itu, bekas perdana menteri itu perlu menjalani baki tempoh penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya melainkan dia mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak permohonan Najib melalui penghakiman majoriti 4-1 di mana keputusan (menolak kebenaran) dibuat oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.
Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan menentang. – Malaysiapost