Kalah rayuan saman, Sanusi kena bayar Mahfuz RM120,000

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor gagal dalam rayuan hukuman saman fitnah daripada Datuk Mahfuz Omar.

Malah Mahkamah Rayuan membenarkan bayaran saman yang dijatuhi terhadap Muhammad Sanusi dinaikkan daripada RM50,000 menjadi RM120,000.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Mahfuz, Noorazmir Zakaria menerusi hantaran di Facebook.

“Rayuan anak guam untuk menaikkan jumlah ganti rugi pula dibenarkan, daripada RM50,000 kepada RM120,000.

“Saya secara peribadi dalam kendali kes saman fitnah, inilah jumlah ganti rugi yang paling tinggi dapat. Susah nak lepas nilai ratus ribu sekarang ni,” katanya, hari ini.

Mahkamah Tinggi pada November 2021 memerintahkan Sanusi untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Satu hantaran Facebook Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS pada Julai 2019 telah menerbitkan kenyataan berunsur fitnah kepada Mahfuz.

Muhammad Sanusi mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan tersebut.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu turut menerbitkan video bantahan penduduk yang memaparkan sepanduk tertera nama plaintif. – Malaysiapost

Kredit foto: Astro Awani

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights