BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mempersoalkan keperluan pelantikan ketua menteri Melaka yang baharu bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu.
Beliau berkata, Umno hanya perlu mengarahkan Datuk Seri Sulaiman Ali, yang menjadi ketua menteri sebelum ini, membentuk kerajaan perpaduan.
“Jika itulah yang dikehendaki, tiada keperluan menukar ketua menteri,” katanya rancangan Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan.
Khairy berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan ‘konsesi besar’ dengan bersetuju penukaran Ketua Menteri Melaka, kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua Umno Melaka, menggantikan Sulaiman.
Menurutnya, pembentukan kerajaan perpaduan negeri, rakan gabungan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) kini boleh mendominasi calon bagi lantikan Exco, sebelum ini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN.
“Ini merupakan konsesi besar kerana kita tidak melihat PH menawarkan perkara sama di negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Rembau itu melihat keputusan Ahmad Zahid membentuk kerajaan perpaduan sebagai langkah taktikal berunding bagi jawatan Exco bagi wakil rakyat BN di mana negeri itu dikuasai PH selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun ini.
“Ini juga boleh dilihat pendekatan membina keyakinan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan memberi pengecualian kepada Umno,” katanya. – Malaysiapost