KWSP bersasar, kerajaan tak pilih jalan singkat untuk raih populariti – Rafizi
MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar adalah disebabkan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan tidak sesekali memilih jalan singkat semata-mata untuk meraih populariti sementara atau meninggalkan beban masalah kepada pimpinan lain pada masa hadapan untuk diselesaikan.
“Pagi tadi, beberapa Ahli Parlimen pembangkang protes keluar dewan bila Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar KWSP dibahaskan hari ini.
“Ini sebab mereka tidak faham atau tidak ambil berat masa depan rakyat. Jadi, saya nak jelaskan sikit kenapa kerajaan tidak membenarkan KWSP dikeluarkan secara bersasar.
“Pertama, KWSP diwujudkan untuk pencarum mempunyai simpanan di hari tua. Ia juga mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Rafizi berkata, selain itu ia memberi kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak keluarkan wang KWSP adalah kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.
“Sekiranya pencarum mati sekalipun, simpanan dalam KWSP akan dapat kepada waris,” ujarnya.
Terdahulu, pembukaan sesi Dewan Rakyat pagi ini, kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan.
Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang KWSP secara bersasar.
Wan Ahmad Fayshal berkata, usul yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, Jumaat lalu, ditolak atas alasan isu itu sudah dijelaskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, sebelum ini. – Malaysiapost