Mangsa maut kemalangan nyaris tertukar identiti

TINDAKAN membawa MyKad milik individu lain, menyebabkan identiti seorang daripada dua mangsa kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 55, Jalan Pekan- Rompin di Nenasi, Pekan pagi tadi, nyaris tertukar.

Dalam kejadian jam 8.46 pagi itu, pasukan penyelamat menyangka mangsa yang meninggal dunia adalah Jemilah Awang Ngah, 74, dari Kampung Jambu, Mukim Langgar, berikutan penemuan kad pengenalan warga emas terbabit padanya.

Bagaimanapun identiti sebenar mangsa terbabit kemudian dikenal pasti sebagai Ruzana Mohamad Agin, 50, dari Perumahan Dato Shahbandar.

Namun hubungan sebenar kedua individu berkenaan belum dikenal pasti.

Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia adalah Suhaizan Abdullah, 41, dari Kampung Bentan, Kuala Pahang, yang bekerja sebagai Pembantu Perangkaan di Jabatan Perangkaan Pahang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zaidi Mat Zin, berkata siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Rompin.

“Apabila melalui selekoh di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa telah terbabas akibat jalan licin menyebabkan ia memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar treler yang datang dari arah hadapan.

“Akibat kemalangan itu, Ruzana yang memandu kereta terbabit serta Suhaizan yang duduk di tempat duduk hadapan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetik Berita Harian.

Zaidi berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan terbabit mempunyai satu lorong dua hala manakala cuaca ketika kejadian mendung selepas hujan.

“Siasatan lanjut mengenai kejadian ini akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil memberikam maklumat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights