PELAKON Wanita Terbaik Anugerah Oscar,Tan Sri Michelle Yeoh akan kembali ke Malaysia untuk bertemu peminatnya dalam masa dua minggu lagi.
Yeoh akan bertemu peminatnya di acara permaidani merah di Pavilion Kuala Lumpur pada 18 April ini, jam 5.30 petang.
Sesi bertemu peminat akan dibuka kepada orang ramai dan tiada pendaftaran awal yang diperlukan.
Selain itu, Yeoh juga dijadualkan menghadiri makan malam konsert peribadi pada malam yang sama untuk meraikan ulang tahun kelahiran ibunya.
Pelakon berusia 60 tahun itu mencipta sejarah bulan lalu selepas menjadi rakyat Malaysia dan Asia pertama memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi ke-95.
Anak kelahiran Ipoh itu diberi penghormatan dengan anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Utama’ untuk filem Everything Everywhere All At Once pada majlis anugerah paling berprestij Hollywood ,di Teater Dolby di Los Angeles.
Semasa ucapan penerimaannya, Yeoh mendedikasikan kemenangan bersejarahnya kepada ibunya Datin Janet Yeoh.
“Dia berusia 84 tahun dan saya membawa ini pulang kepadanya,” katanya.
Sebelum memenangi Oscar, Yeoh memenangi ‘Persembahan Terbaik oleh Pelakon dalam Filem, Muzikal atau Komedi’ di Anugerah Golden Globes.
Aktres itu juga menjadi pelakon Asia pertama yang menang di Anugerah Screen Actors Guild 2023 pada Februari untuk ‘Prestasi Cemerlang oleh Pelakon Wanita dalam Peranan Utama’.
Yeoh turut mendapat ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaannya meraih anugerah di Oscar. – Malaysiapost