PENGGUNAAN minyak sawit dalam masakan harian tidak akan menjejaskan kesihatan individu, jika sentiasa memantau pengambilan kalori dalam makanan.
Pusat membeli belah mega terkenal, Mydin Malaysia menerusi hantaran di Facebook, menerangkan bahawa minyak sawit adalah minyak masak terbaik dan paling sihat untuk digunakan dalam masakan harian.
“Minyak sawit juga mempunyai daya tahan amat tinggi terhadap pengoksidaan, komposisi asid lemak yang unik dan Vitamin E serta tahan lama berbanding dengan minyak sayuran yang lain,” katanya.
Sementara itu, Mydin Malaysia turut memaklumkan penggunaan minyak boleh merendahkan kadar kolestrol dalam darah.
”Yang bestnya, semua produk minyak sawit ni ada dijual di Mydin. Terdapat juga dalam pelbagai saiz,” katanya lagi.
Isu penggunaan minyak masak tular selepas selebriti media sosial, Khairul Aming mendapat teguran daripada seorang pakar perubatan kerana dikatakan menggunakan minyak berlebihan dalam masakan sambal bilis.
Dr Rafidah Abdullah menerusi hantaran di Twitter, menegur Khairul Aming lebih mengambil berat mengenai bahan-bahan masakan dalam video yang dimuat naik dalam laman sosialnya.
Hari ini, Khairul Aming tampil mempertahan penggunaan minyak agak banyak bagi memasak menu sambal supaya ia menjadi lebih menjadi sedap seperti resipi original.
Katanya, dia bersetuju dengan pandangan Dr Rafidah bahawa kesihatan perlu diutamakan.
Bagaimanapun, usahawan berusia 31 tahun itu mengakui masakan menjadi tidak sedap sekiranya digantikan dengan bahan-bahan lebih sihat berbanding resipi asal. – Malaysiapost