Noorazlan wakil ribuan pencarum yang terkesan dengan tekanan ekonomi – Muhyiddin
PERIKATAN Nasional menegaskan tidak akan berganjak dalam memperjuangkan nasib rakyat, termasuk tuntutan Kumpulan Wang Simpanan Bersasar (KWSP) bersasar.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kagum dengan kegigihan pemandu teksi, Noorazlan Ismail yang sanggup berjalan kaki dari Skudai, Johor ke Kuala Lumpur semata-mata mahu menyerahkan memorandum menuntut kebenaran pengeluaran KWSP.
“Saya kagum dengan kegigihan lelaki berusia 48 tahun ini yang meredah panas dan hujan sepanjang lima hari berjalan kaki lebih 300 kilometer demi menuntut haknya.
“Saya bersyukur apabila Noorazlan memberitahu dia sihat dan tiba di Kuala Lumpur dengan selamat semalam,” katanya dalam hantaran Facebook.
Muhyiddin berpeluang bertemu dengan Noorazlan ketika hadir ke Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu menyifatkan apa yang dilakukan Noorazlan adalah simbol kepada kesusahan hidup rakyat yang mempunyai caruman KWSP tetapi tidak dapat mengeluarkannya ketika berhadapan dengan kesempitan hidup.
Katanya, ia juga selari dengan apa yang sedang diperjuangkan PN dalam mendesak kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi membenarkan pengeluaran KWSP bersasar bagi mengurangkan beban hidup rakyat.
“Malangnya sehingga kini kerajaan tidak mahu mendengar desakan tersebut, malah tidak nampak tanda-tanda atau usaha untuk menyelesaikan isu ini.
“Saya berharap kerajaan melihat apa yang Noorazlan lakukan adalah mewakili ribuan pencarum lain yang turut terkesan teruk dengan tekanan ekonomi pada masa ini,” ujarnya.
Noorazlan yang bekerja sebagai pemandu teksi membuat keputusan nekad untuk berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru ke Istana Negara bagi menggesa kerajaan agar membenarkan pengeluaran khas KWSP untuk insan sepertinya.
Tindakan Noorazlan itu tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen yang rata-rata memberi kata-kata semangat kepadanya.
Sepanjang perjalanannya, Noorazlan tidak berputus asa untuk terus berjalan kaki meskipun kakinya melecet akibat berjalan terlalu lama.
Malah ada beberapa kawasan, beliau terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cuaca hujan semata-mata untuk menyampaikan hasratnya itu kepada kerajaan. – Malaysiapost