Rugi RM9.74 juta akibat jenayah komersil dalam masa tiga bulan

Ben Ibrahim

POLIS Pahang merekodkan kerugian berjumlah RM9.74 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini angkara jenayah komersial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penyumbang utama kes jenayah komersial di negeri itu adalah penipuan secara dalam talian.

“Untuk itu saja (penipuan dalam talian) kita terima laporan paling tinggi dengan jumlah (kerugian) RM6.9 juta,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Ramli berkata, kebanyakan kes membabitkan penipuan e-belian dan tawaran kerja.

Katanya, untuk tempoh tiga bulan ini juga sebanyak 564 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu, 260 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

“Berdasarkan data yang kita ada, individu dari sektor swasta paling ramai menjadi mangsa sindiket penipuan ini.

“Kebanyakan mangsa berusia antara 17 hingga 40 tahun,” katanya lagi.

Beliau menasihatkan orang ramai melakukan semakan nombor akaun dan nombor telefon yang tidak dikenali menggunakan pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Selain itu, selalu juga semak akaun bank dan segera melaporkan kepada polis atau pihak bank jika terdapat aktiviti mencurigakan dalam akaun milik anda,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights