SELEPAS menghantar memorandum di Istana Negara, Noorazlan Ismail terus dibawa ke Parlimen untuk bertemu dengan pemimpin pembangkang.
Sensasi kedua yang dicetuskan pemandu teksi itu hari ini dikongsi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam hantaran Facebooknya.
Wan Saiful berkata, lelaki berusia 48 tahun itu telah dibawa berjumpa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di Parlimen.
“Usai menghantar memorandum rakyat berkenaan tuntutan pengeluaran #KWSPbersasar di Istana Negara, saya membawa saudara Noorazlan Ismail, seorang pemandu teksi, ke Parlimen bagi bertemu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Ahli Parlimen PN.
“Saya melihat ada sedikit kelegaan di wajahnya apabila misi untuk berjalan kaki dari Johor ke ibu negara, tercapai dan mendapat perhatian wakil rakyat PN dan NGO-NGO malah di media sosial.
“Ia sekali gus membawa hasrat pencarum-pencarum yang terkesan agar suara mereka didengari kerajaan PH-BN,” katanya.
Terdahulu, Noorazlan tiba di pintu Istana Negara dan dibenarkan masuk pada jam 11.15 pagi tadi bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dia mengharungi perjalanan lebih 300 kilometer dengan berjalan kaki ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Agong berhubung pengeluaran KWSP bersasar. – Malaysiapost